Saturday, February 19, 2011

Saya Hamil Sebelum Nikah

Tunang saya bersikap sambil lewa dan melengah-lengahkan tarikh perkahwinan kami sedangkan saya sudah hamil dua bulan hasil perhubungan kami berdua. Saya sanggup buat apa saja demi untuknya tetapi takut memaklumkan keluarga keadaan diri ini yang sebenarnya. Setiap kali saya tanyakan tunang bila tarikh sesuai berkahwin, dia mengelak. Saya buntu, Umi...apa harus saya lakukan?

=Wanita mengandung dua bulan resah tunang lengah perkahwinan=

DARIPADA :Tunang Menderita

Jawapan:

Salam Tunang Menderita.. Terima kasih kerana masih ada kekuatan dan mampu berkongsi masalah dengan Umi. Apa yang anda alami adalah masalah besar yang kerap terjadi kepada pasangan kekasih yang membina cinta bertunjangkan nafsu dan bukan cinta suci dan kesetiaan abadi.

Tunangan anda tidak langsung menghormati anda sebagai bakal isteri tercinta sedangkan anda pula mencintainya membabi buta, hingga sanggup menggadai kesucian diri dan maruah, menjadi mangsa nafsu seksnya walaupun belum menjadi isteri. Sedangkan tunangan anda hanya mahu menikmati tubuh anda saja, lalu berlepas tangan daripada kesalahannya.

Malah mungkin akan menggunakan keadaan anda sekarang sebagai alasan untuk dia enggan menikahi anda dengan mungkin menuduh anda berlaku curang dengan orang lain. Inilah bentuk cinta yang akhirnya anda terjebak sendirian dan dia cuba melepaskan diri dengan cara melewatkan perkahwinan yang sudah dirancang bersama.

Keadaan ini seharusnya membolehkan anda membuat kesimpulan adakah tunangan anda ini akan menjadi suami yang bertanggungjawab atau sebaliknya kerana dia menikahi anda secara paksa. Dia juga tidak menghormati orang tua dan keluarga anda dan keluarganya dengan cara mencemari nama baik orang tuanya.

Anda akan lebih malang lagi jika keluarga lelaki tidak mahu atau enggan menerima anda sebagai menantu mereka kerana mengandung anak luar nikah yang belum pasti berpunca dari anak lelakinya. Bayangkan jika dia tidak bertanggung jawab terhadap masalah ini? Pada kebiasaannya perkahwinan sebegini andai berlaku, ia sulit untuk dipertahankan.

Namun anda harus berusaha untuk dinikahi dalam apa keadaan apa sekali pun. Oleh itu anda tidak boleh menyelesaikannya dengan hanya menyerahkan urusan itu kepada tunangan anda saja. Anda perlu berani berterus-terang dengan ibu bapa kedua-dua belah pihak dan membawa mereka terbabit secara langsung dalam soal urusan perkahwinan anda.

Anda tidak boleh berdolak-dalik dengan orang tua anda sendiri, malah tidak boleh menyembunyikan kandungan anda daripada pengetahuan keluarga tunang anda. Mereka perlu tahu hal ini walau apa pun kesannya kerana perkara ini ibarat bangkai gajah, tak boleh ditutup begitu saja, lambat laun akan diketahui mereka.

Malah, andai anda berterus terang sekarang, sekurang-kurangnya dapat juga sedikit sebanyak menjaga air muka keluarga kedua belah pihak, sebab perut anda belum kelihatan pada majlis pernikahan itu walaupun di mata Allah SWT, anda tetap tidak rahsiakan dan status anak anda tetap sebagai anak luar nikah.

Oleh itu jangan berlengah lagi, berundinglah dengan keluarga anda dan keluarga tunangan anda agar lukanya tidak terlalu parah dan dosa dapat dicuci dengan taubat nasuha. Ingatlah bahawa anda seorang Islam yang menyakini adanya Allah SWT yang perlu dihormati dan disayangi, anda sedar ada Nabi Muhammad SAW dan ada hari akhirat.

Bangunkan semula semangat untuk menyelamatkan diri daripada terjebak dalam dosa pada masa depan. Akhirnya ingatlah pesanan ini “jika manusia dan dunia ini tidak ada iman di dalam mereka, maka semua itu (manusia dan dunia) tidak berguna, tidak berharga dan tidak bermakna. Bangunlah daripada jerat dunia ini kerana anda perlu terus hidup untuk mencuci dosa semalam anda.


No comments:

Post a Comment